Melayu
Surah Al-Balad ( The City ) - Aya count 20
لَا أُقْسِمُ بِهَٰذَا الْبَلَدِ
( 1 ) Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;
وَأَنتَ حِلٌّ بِهَٰذَا الْبَلَدِ
( 2 ) Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ
( 3 ) Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي كَبَدٍ
( 4 ) Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
أَيَحْسَبُ أَن لَّن يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ
( 5 ) Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?
يَقُولُ أَهْلَكْتُ مَالًا لُّبَدًا
( 6 ) Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: "Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).
أَيَحْسَبُ أَن لَّمْ يَرَهُ أَحَدٌ
( 7 ) Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?
أَلَمْ نَجْعَل لَّهُ عَيْنَيْنِ
( 8 ) (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -
وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ
( 9 ) Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ
( 10 ) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ
( 11 ) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;
وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ
( 12 ) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
فَكُّ رَقَبَةٍ
( 13 ) (Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;
أَوْ إِطْعَامٌ فِي يَوْمٍ ذِي مَسْغَبَةٍ
( 14 ) Atau memberi makan pada hari kelaparan -
يَتِيمًا ذَا مَقْرَبَةٍ
( 15 ) Kepada anak yatim dari kaum kerabat,
أَوْ مِسْكِينًا ذَا مَتْرَبَةٍ
( 16 ) Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
ثُمَّ كَانَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا بِالْمَرْحَمَةِ
( 17 ) Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.
أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ
( 18 ) (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا هُمْ أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ
( 19 ) Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. -
عَلَيْهِمْ نَارٌ مُّؤْصَدَةٌ
( 20 ) Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).